Translate

28/10/2011

PERKASA sokong CUEPACS protes kenaikan harga barang


Image Detail
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya melakukan protes terhadap kenaikan harga barang terutamanya ayam mulai bulan depan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi memberi pengajaran kepada peniaga atau penjual ayam supaya mereka sedar dan insaf dengan perbuatan menaikkan harga sesuka hati.

“Saya seru semua yang hadir pada hari ini dan juga mereka di luar sana supaya memboikot peniaga serta penjual ayam ini.
“Saya yakin kita masih boleh hidup sekiranya tidak makan ayam. Mari kita berikan mereka pengajaran sekiranya mereka masih berdegil mahu menaikkan harga ayam dengan sesuka hati,” katanya ketika berucap pada Persidangan Agung Perkasa Kedua di sini, hari ini.
Beliau mengulas saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman terhadap 1.3 juta penjawat awam di negara ini melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang terutamanya ayam mulai bulan depan.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas perasmian persidangan tersebut, Ibrahim Ali mendedahkan bahawa Perkasa mempunyai kuasa dan boleh memainkan peranan dalam menentukan kemenangan atau kekalahan seseorang calon yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, dengan jumlah ahli yang dijangka mencecah angka 500,000 menjelang PRU, Perkasa boleh mempengaruhi ahlinya supaya tidak memilih calon yang dilihat sering membangkitkan isu berhubung Melayu dan Islam.
“Kami mempunyai kuasa untuk menentukannya dengan jumlah ahli yang ramai. Setakat ini, di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), sekurang-kurangnya kami mempunyai 600 ahli,” katanya.
“Ketika ini kami memantau beberapa calon yang berpotensi untuk bertanding pada PRU akan datang dan sekiranya mendapati mereka tidak sensitif dengan isu berkaitan Melayu serta Islam, kami boleh mengarahkan ahli yang berada di kawasan calon tersebut supaya tidak mengundi.
“Ia bukan hanya pada calon berketurunan Cina, India atau parti pembangkang sahaja tetapi meliputi calon Melayu dan parti pemerintah. Jadi, berwaspadalah ketika berkata-kata dan jangan sesekali cuba membangkitkan isu berkaitan Melayu serta Islam,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...