Translate

11/09/2011

DAP jadi dalang wayang politik

Image Detail

KUALA LUMPUR: Penangguhan perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan polemik Mat Indera dicetuskan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu adalah wayang politik yang diatur DAP bagi meraih sokongan politik. 

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata DAP banyak memainkan peranan dalam mencorak hala tuju politik pembangkang dan rakyat perlu membuat pertimbangan bijak bagi mengelak daripada terus ditipu.

Beliau berkata, dalam kes liwat dihadapi Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, banyak keistimewaan diberikan kepadanya jika dibandingkan dengan rakyat biasa yang berdepan dengan tuduhan sama.
Ramai orang yang dituduh melakukan perbuatan meliwat tidak boleh dijamin serta dibebaskan, namun berbeza dalam kes Anwar yang bebas untuk bergerak termasuk berkempen walaupun berdepan dengan tuduhan meliwat. Dalam hal ini, yang menjadi mangsa adalah (bekas Pembantu Anwar) Saiful Bukhari Azlan. 

Bagi saya kes Anwar ini adalah satu episod drama yang sengaja diadakan oleh DAP, mengapa saya berkata demikian kerana individu mengendalikan kesnya adalah pemimpin DAP yang sebelum ini mengakui selok-belok mengenai perangai Anwar. 

Begitu juga dengan polemik komunis membabitkan Mat Indera, semua ini adalah drama yang diarahkan DAP. Bagi saya Presiden PKR (Datin Seri) Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS, (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang dan serta pemimpin lain adalah pelakon, katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 

Abdul Latiff berkata, ketua pembangkang mendapat banyak keistimewaan berhubung pertuduhan yang dihadapinya kini adalah kerana sistem kehakiman negara sentiasa memastikan proses perbicaraan berjalan dengan adil. 
Katanya, sebagai seorang pemimpin politik yang kononnya memperjuangkan keadilan, Anwar tidak sepatutnya menimbulkan pelbagai kerenah bagi melambatkan perbicaraan termasuk memohon hakim mengendalikan kesnya digugurkan. 

Bagi saya permainan politik pembangkang ini sedang diperhati serta dinilai oleh rakyat, jangan fikir rakyat tidak berfikir. Suara majoriti rakyat berpengetahuan sedang menilai dan akan membuat keputusan kerana mereka tidak mahu ditipu oleh cerita dongeng pembangkang, katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...