Translate

31/08/2011

Siasat seleweng wang PBAPP

Image Detail

GEORGETOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud penyelewengan wang milik anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) yang didakwa digunakan membayar tuntutan perubatan berjumlah RM8,434.05 kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu bagi menjalani pembedahan kaki kanannya yang cedera ketika menyertai perhimpunan haram di Kuala Lumpur, 9 Julai lalu.


Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Huan Cheng Guan, berkata pihaknya mahu SPRM menyiasat perkara itu berikutan wujud unsur meragukan dalam pembayaran kepada Mohamad yang mana tuntutan dibuatnya adalah berjumlah RM8,434.05, sedangkan kos sebenar rawatannya hanya RM5,060.54 seperti dilaporkan. Turut dipertikaikan adalah kelayakan Mohamad menerima pembayaran itu kerana kecederaan dialaminya berikutan tindakannya menyertai perhimpunan haram, bukannya disebabkan ketika bertugas bersama PBAPP.

“Kami juga mahu SPRM menyiasat tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng selaku Pengerusi PBAPP meluluskan tuntutan berkenaan, kerana ia jelas bercanggah dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang dilaung-laungkan kerajaan Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pemberita sebelum membuat laporan itu di pejabat SPRM di sini, semalam. 

Isu berkenaan didedahkan beberapa blog yang turut mempamerkan beberapa dokumen bagi menyokong dakwaan terbabit iaitu memo dalaman PBAPP bertarikh 3 Ogos yang memohon kebenaran daripada Pengurus Besar PBAPP, Jaseni Maidinsa untuk meluluskan pembayaran balik kos perubatan pemimpin PAS itu di sebuah hospital swasta berjumlah RM8,434.05.

Mengikut memo berkenaan, RM5,060.55 adalah kos rawatan perubatan di hospital swasta terbabit, manakala RM3,373.50 adalah bayaran perundingan pembedahan. Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim meminta Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia menyiasat dakwaan penyelewengan wang PBAPP itu. “Siasatan itu penting kerana kita mahu tahu sama ada PBAPP sebuah syarikat senaraian awam menyokong kegiatan haram atau tidak,” katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...