Translate

24/08/2011

20,000 sertai Ops Sikap, Raya

View Image

PDRM bakal guna konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi di lebuh raya.

KUALA LUMPUR: Lebih 20,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerah dalam dua operasi berasingan, Ops Sikap ke-24 dan Ops Raya 2011, masing-masing bagi mengawal lalu lintas dan mengawal keselamatan pengguna jalan raya sempena sambutan Aidilfitri akhir bulan ini.
Ops Sikap itu membabitkan lebih 10,000 anggota dan pegawai PDRM akan diadakan selama 15 hari bermula hari ini, manakala Ops Raya 2011 akan membabitkan 10,090 anggota JBPM berkuat kuasa selama dua minggu bermula semalam. Menerusi Ops Sikap itu yang disasarkan mengurangkan lima peratus kadar kemalangan maut, PDRM bakal menggunakan konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi di lebuh raya menggunakan kanopi dan 160 lokasi pemantauan di Jalan Persekutuan sebagai pusat tindakan pantas bantuan kepada orang ramai. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, walaupun penguatkuasaan kesalahan trafik tidak menjadi teras Ops Sikap, PDRM tetap mengeluarkan saman amaran, termasuk saman ekor kepada pengguna yang melanggar peraturan trafik sekali gus tidak akan melayan sebarang rayuan berhubung saman terbabit.

“Kita juga akan gunakan kamera baru yang merakam kesalahan lalu lintas tanpa perlu anggota trafik menyorok di sebalik tiang atau dalam semak. Notis saman itu akan dihantar bersama gambar kesalahan yang dirakamkan secepat mungkin ke alamat pemandu, ” katanya selepas melancarkan Ops Sikap ke-24 dan Kempen Rumah Selamat 2011 di Sri Pentas, semalam.

PDRM turut menerbitkan kapsul nasihat di saluran televisyen Kumpulan Media Prima Bhd dan RTM, menyediakan talian bebas tol 1800 88 1412 serta melancarkan Kempen Rumah Selamat sebagai ciri tambahan kepada Ops Sikap, di mana orang ramai perlu mengisi Borang Maklumat Balik Kampung bagi membolehkan polis melakukan rondaan di kawasan kediaman mereka.

Di Plaza Tol Sungai Besi, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengumumkan 16 lokasi strategik di beberapa lebuh raya dipilih bagi menempatkan anggota bomba dan jentera penyelamat dalam Ops Raya 2011 yang juga operasi sokongan kepada Ops Sikap Ke-24 sepanjang sambutan hari raya Aidilfitri.

Operasi bersepadu itu akan membabitkan 258 balai bomba yang menyaksikan anggota bomba melakukan rondaan dan pemantauan 24 jam di Jalan Persekutuan, Jalan Bandaran dan lain-lain jalan dengan objektif mengurangkan masa tindak balas kecemasan membabitkan kes kemalangan, kebakaran dan bencana kimia di jalan raya dan premis kediaman serta komersial.

“Kita meletakkan tujuh helikopter Unit Udara JBPM dalam mod berjaga-jaga untuk sebarang misi menyelamat selain mengaktifkan bilik gerakan operasi negeri untuk melancarkan operasi,” katanya selepas melancarkan operasi bersepadu di plaza tol itu sambil disaksikan Ketua Pengarah JBPM, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...