Translate

26/06/2011

Polis Terima Lebih 1,000 Laporan Bantah Perhimpunan Haram

View Image
IPOH, 25 Jun (Bernama) -- Polis telah menerima sebanyak 1,248 laporan daripada pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara membantah perhimpunan haram yang akan dianjurkan oleh beberapa kumpulan di ibu negara pada 9 Julai ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata laporan yang diterima itu membuktikan orang ramai mahu polis bertindak tegas menghalang perhimpunan berkenaan kerana mereka bimbang keamanan dan ketenteraman awam terjejas.



Jumlah laporan berkenaan diterima sehingga Jumaat petang, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini. Program itu turut dihadiri Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan dan Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye.

Khalid berkata terdapat beberapa kumpulan dikatakan sedang bersiap sedia berhimpun pada tarikh berkenaan.

Beliau berkata polis kini sedang menyiasat mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis iaitu percubaan untuk mengadakan perhimpunan haram.

Khalid berkata polis telah meminta penganjur daripada kumpulan-kumpulan berlainan itu datang ke Bukit Aman minggu depan untuk diambil keterangan dan maklumat.

View Image
"Jika mereka gagal hadir, polis akan mengeluarkan waran tangkap," katanya.

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar terus mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram pada 9 Julai nanti.

Beliau berkata orang awam tidak sepatutnya terlibat dengan perhimpunan berkenaan yang hanya akan menimbulkan masalah kepada ketenteraman awam.

"Saya memantau keadaan ini, lagi pun sudah beratus-ratus laporan kita terima yang tidak menyokong perhimpunan ini.

"Saya lihat perhimpunan ini boleh mengundang kepada ketegangan ketenteraman awam. Jadi sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, janganlah kita membuat pilihan yang boleh menyebabkan ketegangan dalam negara kita berlaku," katanya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...