Translate

28/06/2011

Menghidupkan kembali fahaman Komunis ?????

Foto

KEPALA BATAS: Polis menahan 31 ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr S Jayakumar Devaraj selepas menemui bahan mengandungi unsur komunis dan penentangan terhadap Yang di-Pertuan Agong, dalam bas yang mereka naiki, di Plaza Tol Sungai Dua dekat sini, petang kelmarin.

Antara yang ditemui adalah 28 helai pakaian warna hitam dan merah tertera nama dan gambar bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Chin Peng, Abdullah CD, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah serta gambar tokoh komunis Argentina, Ernesto ‘Che’ Guevara atau dikenali sebagai El Che.


Turut ditemui kira-kira 7,000 risalah PSM dalam bahasa Melayu, Cina dan Tamil yang bertulis ‘Udahlah tu... Cukup 54 tahun.

bersaralah’, 600 risalah berkaitan perhimpunan haram 9 Julai, 25 naskhah sosialis termasuk 15 naskhah berbahasa Tamil, satu set pembesar suara mudah alih, 15 bendera PSM, sembilan helai baju T tertera tulisan ‘Serangan Neo Liberal Rakyat Terus Sengsara’ dan lapan helai baju T tertera tulisan ‘Anti Capitalism’.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abd Rahim Jaafar, ketika memaklumkan penemuan itu pada sidang media di sini, semalam, berkata, tiada senjata berbahaya ditemui dalam bas berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mendapati bahan yang ditemui bersama kumpulan itu sangat serius serta boleh menggugat keselamatan negara dan berikutan itu, siasatan dibuat mengikuti Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong. 

“Kita melihat usaha kumpulan ini membawa ke arah penentangan dan peperangan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Abd Rahim berkata, pihaknya mendapat maklumat ada rombongan dalam sebuah bas dari Sungai Petani, Kedah ke Pulau Pinang dipercayai cuba menghasut orang ramai untuk membenci kerajaan dan membawa senjata berbahaya.

“Sekatan di laluan arah selatan di Plaza Tol Sungai Dua membawa kepada penahanan sebuah bas mempunyai kain rentang tergantung lambang dacing yang digunting dengan bertulisan ‘Udahlah tu.. Cukup 54 tahun Bersaralah’.

“Semua yang ditahan berusia antara 16 hingga 64 tahun dan mereka turut memakai memakai baju T warna kelabu yang tertera gambar dacing seperti Barisan Nasional (BN) yang digunting dan bertulisan ‘Udahlah Bersaralah’,” katanya.

Sementara itu, Mahkamah Sesyen Butterworth menetapkan tempoh reman tujuh hari sehingga 7 Julai terhadap 30 ahli PSM terbabit, termasuk Jayakumar. 

Majistret Amernudin Ahmad membenarkan mereka ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan, iaitu cuba melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Seorang daripada 31 yang ditahan kelmarin, dibebaskan kerana di bawah umur. Mereka diwakili peguam Karen Lai, A Chandra Segaran, Rowena Nair, Sukhindarpal Singh, Agatha Foo, Joshua Narendren dan Benjamin Sathyanandam.

Karen berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan mengkaji semula siasatan mengikut Seksyen 122 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi kerana tiada sebarang senjata berbahaya ditemui.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...