Translate

26/04/2011

Mayat bayi dalam beg

GAMBAR dalam bulatan menunjukkan beg berisi mayat kanak-kanak yang ditinggalkan di tepi susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan  arah utara, menuju Plaza Tol Bandar Baharu, kelmarin.

BANDAR BAHARU: Mayat kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan setahun, dipercayai keturunan India ditemui dalam beg pakaian di tepi susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, menuju Plaza Tol Bandar Baharu di sini, kelmarin. 

Beg berwarna hitam yang ditinggalkan di tepi tiang lampu di sebalik pokok bunga ditemui kira-kira jam 5 petang oleh dua pekerja PLUS sebelum memaklumkan kepada seorang penarik kereta yang kebetulan melalui laluan itu.

Penarik kereta itu yang dikenali sebagai Ng, 45, terus membuka beg berkenaan dan terkejut apabila mendapati ada mayat budak lelaki seperti dalam keadaan tidur di dalam beg berkenaan.
Mayat budak itu lengkap berbaju-T berjenama ‘Pureen’ dan seluar pendek berwarna merah serta berstokin. Tiada kecederaan di mayat itu yang sepadan dengan saiz beg berkenaan kecuali ada cecair keluar dari mulut dan hidung. 

Berikutan itu, mereka memaklumkan penemuan mayat budak itu kepada polis. Mayat berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. 

“Sudah beratus kali saya membuka beg yang ditinggalkan yang kebanyakannya berisi barang dan baju, tetapi hari ini (kelmarin) saya terkejut kerana ada mayat budak,” katanya yang berulang alik sebanyak lima kali sehari di laluan berkenaan. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Helmi Aris, berkata siasatan awal ke atas mayat budak itu mendapati tiada kecederaan fizikal serta tidak ada pengenalan diri ditemui di dalam beg berkenaan. 
Katanya, polis percaya kanak-kanak berkenaan meninggal dunia kurang daripada 24 jam sebelum mayat itu ditemui. 

“Kami percaya kanak-kanak itu baru meninggal dunia dan ketika ditemui ada cecair keluar dari mulut serta hidung,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Polis menyiasat motif kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kematian kanak-kanak. 

Helmi turut meminta ibu bapa yang kehilangan anak lelaki atau ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis atau menghubungi talian 04-407 6545 untuk membantu siasatan. Polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Plaza Tol Bandar Baharu. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...