Translate

20/03/2011

Lembu ‘jaga’ Perigi Portugis

JASIN: Menyedihkan apabila kesan tinggalan sejarah iaitu Perigi Portugis di Kampung Merlimau Pantai, di sini, yang mempunyai kaitan dengan sejarah Kesultanan Melayu Melaka tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Lebih mengejutkan, kawasan sekitar perigi terbabit yang sudah dibangunkan dengan beberapa kemudahan termasuk wakaf tempat beristirahat bagi pelancong dan pengunjung tercemar gara-gara sikap tidak prihatin penternak lembu yang sewenang-wenangnya menambat haiwan berkenaan di situ.

Tinjauan Metroplus mendapati terdapat kira-kira 10 lembu yang dipelihara di kawasan berkenaan yang mempunyai rumput hijau termasuk ada antaranya yang ditambat pada pokok hiasan berhampiran perigi itu.
Keadaan berkenaan menyebabkan pemandangan di kawasan itu tidak ubah seperti kawasan ladang lembu sedangkan fungsinya tempat tarikan pelancongan.

Tinjauan juga mendapati selain ditambat lembu berkenaan dibiarkan pemiliknya dan bebas meragut rumput serta pokok hiasan yang ditanam Majlis Perbandaran Jasin.

Pengunjung, Nas Norziela Nasbah, 23, berkata dia terkejut melihat lembu berkenaan yang ditambat dan dilepaskan di kawasan pelancongan itu.
Menurutnya, perkara itu tidak sewajarnya berlaku, sekali gus menjejaskan imej negeri ini sebagai Bandaraya Warisan Dunia.

“Saya teruja datang ke sini bagi melihat kesan tinggalan sejarah Perigi Portugis. Namun, sebaik memasuki kawasan ini saya berasa jijik melihat longgokan tahi lembu bertaburan di atas jalan masuk ke perigi ini.
“Perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ia mengganggu kunjungan pelancong ke sini. Saya hairan bagaimana penternak lembu terbabit memelihara ternakan mereka di sini,” katanya ketika ditemui.

Nas Norziela berkata, dia kecewa melihat kesan tinggalan pelancongan itu tidak dijaga baik untuk tatapan generasi masa depan selain pelancong.

“Papan maklumat mengenai butiran Perigi Portugis ini sudah tertanggal menyebabkan pengunjung tidak mengetahui sejarahnya. Selain itu, sekeliling perigi ini sepatutnya dipagar bagi menghalang haiwan ternakan memasuki kawasan ini,” katanya.

Bagi rakannya, Yunhanida Kamis, 23, berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan segera memantau keadaan itu bagi mengelak masalah berkenaan semakin teruk.

Sepatutnya Perigi Portugis dijaga dengan baik oleh pihak berkenaan mahupun penduduk setempat.

“Saya terkilan melihat tempat pelancongan seperti ini seolah-olah menjadi ladang ternakan lembu.

“Jika dipandang dari luar nampak ia nampak gah dan menarik dengan tembok yang mempunyai papan tanda ‘Selamat Datang Perigi Portugis’, namun apabila masuk ke dalamnya terdapat beberapa lembu yang ditambat pada pokok hiasan.

“Selain itu, pondok rehat tidak dijaga dengan baik. Terdapat pakaian ditinggalkan di situ. Bermacam andaian boleh dibuat, termasuk pondok berkenaan dijadikan tempat untuk pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan perbuatan tidak baik,” katanya.

Berdasarkan sejarah, Perigi Portugis dibina askar Portugis di Kampung Merlimau Pantai, di sini, selepas menawan Melaka pada 1511. Portugis meletakkan ketumbukan tenteranya di kawasan itu untuk menghalang kemaraan tentera Sultan Mahmud Shah yang membina kerajaan di Johor.

Selain Perigi Portugis, pelancong ke kawasan Merlimau boleh berkunjung ke Kampung Pengkalan Samak dan beberapa kampung lain di sekitarnya iaitu makam dan Perigi Tun Teja.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...