Translate

25/02/2011

Pecah Pintu, Itukah Demokrasi Mahasiswa???

Rempuh pintu selepas masa diberi untuk memberi penjelasan tamat, inilah ‘demokrasi’ yang diperjuangkan oleh kumpulan Pro- Mahasiswa.

Betulkah ini perbuatan mahasiswa?

Tanggal 23hb Februari 2011, pintu kaca bangunan pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menempatkan pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan, pecah dirempuh oleh sekumpulan mahasiswa pro-Mahasiswa. Tambahan lagi, beberapa pengawal keselamatan juga mengalami cedera parah disebabkan tindakan ganas Pro- Mahasiswa. Apakah kumpulan Pro- Mahasiswa mesti bertindak ganas? Apakah itu satu- satunya cara mereka menangani masalah? Di mana perginya rasa hormat dan budaya santun mahasiswa? Apakah kita menghadapi krisis keruntuhan akhlak? Terdapat banyak lagi persoalan yang perlu dijawab oleh pihak Pro- Mahasiswa ekoran daripada insiden GANAS.

Sememangnya kesemua yang berlaku sepanjang musim pilihan raya kampus merupakan antara proses pembelajaran yang wajar kita lalui, maka kita telahpun diberi kelonggaran untuk menyuarakan pendapat, berhimpun dan sebagainya. Namun, adakah ia bermakna kita bebas untuk berbuat apa sahaja sehinggakan nilai dan imej mahasiswa tergadai? Apakah kita boleh bertindak seolah- olah undang- undang tidak wujud? Tindakan ganas dan melulu kumpulan Pro-Mahasiswa amat mengecewakan kita terutamanya masyarakat umum.

Sedar atau tidak, perbuatan mereka yang bersifat ganas serta ‘kurang ajar’ telah mencemarkan nama baik mahasiswa yang mana sebelum ini dikagumi dan disanjung tinggi atas tahap intelektualnya. Pokoknya, yang melibatkan diri dalam “keganasan” hanyalah segelintir mahasiswa yang dipercayai terlalu agresif sehinggakan golongan ini sanggup bertindak ganas terhadap pihak universiti. Impak ekoran daripada tindakan melulu segelintir mahasiswa telah membabitkan mahasiswa- mahasiswi yang tidak berbuat apa- apa dan tidak bersalah. Kini, masyarakat mempunyai tanggapan negatif terhadap mahasiswa secara keseluruhannya.. Yang lebih menyedihkan, masyarakat mula mempersoalkan tahap intelektual dan nilai etika mahasiswa.

Kempen pilihan raya yang melampau, yang membuat penipuan merata- rata dan yang menyeret peribadi, bukan sahaja buruk malah patut dikutuk! Perbezaan pegangan ideologi jangan sesekali kita jadikan sebagai alasan untuk bertindak sebelum berfikir. Kerana itu kita harus bertindak waras dan barpatutan, konsep ‘kesederhanaan’ patut manjadi asas terhadap segala perjuangan, jangan bertindak melampau. Kata orang; jangan sampai marahkan pijat, kelambu harus dibakar. Jangan sampai menang sorok, kampong tergadai. Usah terjadi, kerana pulut santan binasa. Atas alasan masa diberi untuk membuat penjelasan tamat, maka pintu kaca dirempuh? Jangankan insiden ini menjadi bahan lawak di persada antarabangsa di mana orang meragui atau mempersoalkan tahap intelektual mahasiswa Malaysia.

Adat bertanding menang ada kalah dan menang. Demokrasi memberi peluang kepada siapa-siapa untuk membuat pilihan. Demokrasi, kerana ketidaksempurnaannya, juga mempunyai kelemahannya. Ketidaksempurnaan inilah yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyalahgunakan demokrasi itu sendiri. Sebagai iktibar, jangan sesekali kita selewengkan sehingga meningalkan parut atas demokrasi yang indah dan suci ini.

Sebenarnya, golongan mahasiswa hari ini bakal menerajui tampuk pimpinan negara dalam soal pembangunan ekonomi, politik dan sosial Malaysia pada masa akan datang. Yang lebih mustahak, mahasiswa hari inilah yang memainkan peranan yang sangat penting bagi merealisasikan Wawasan 2020 yang mana Malaysia akan mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020.

Dalam usaha mencapai impian- impian kita, sikap dan akhlak mahasiswa adalah sangat penting kerana sifat mahasiswa hari ini akan mencerminkan kewibawaan serta perangai mereka pada masa depan. Sekiranya pegangan kumpulan Pro-Mahasiswa masih berlandaskan ‘keganasan’, kemungkinan besar Malaysia akan menghadapi masalah serius seperti apa yang sedang berlaku di Timur Tengah. Asasnya, kedaulatan undang- undang harus menjadi pegangan mahasiswa kerana tiada sesiapa boleh dikecualikan daripada undang- undang.

Tey Jun Ren/ JR
President

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...