Translate

26/01/2011

Kesalahan siber sudah meningkat 127 peratus

LABIS - Insiden berkaitan keselamatan siber di negara ini menunjukkan trend yang membimbangkan apabila mencatatkan peningkatan sekurang-kurangnya 20 peratus setahun, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. 

Pada tahun lalu sahaja, katanya Pusat Bantuan Cyber999 yang dikendalikan oleh Unit Keselamatan Siber, sebuah agensi di bawah kementerian itu merekodkan 8,090 insiden berkaitan kesalahan siber berbanding 2009 iaitu 3,564 atau peningkatan 127 peratus.

“Di antara aktiviti yang banyak dikesan ialah serangan peribadi bermotifkan politik, pornografi, penipuan dan penyebaran virus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sirim Pintar-Learning kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sawah Baru, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Labis dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Voules di SK Sawah Baru, di sini, semalam.

Sehingga September tahun lalu terdapat 17 juta pengguna internet di negara ini di mana 7.6 juta adalah pengguna laman sosial Facebook.

Beliau mengingatkan agar pengguna internet terutamanya pengguna Facebook agar lebih bertanggungjawab agar tidak terjerumus menjadi agen antikerajaan dengan menyebarkan kenyataan-kenyataan berbentuk sebegitu rupa yang dibuat oleh sesetengah pihak. 

Pengguna Facebook juga dinasihat lebih berhati-hati di dalam memaparkan maklumat peribadi mereka kerana ia boleh digunakan oleh pihak tertentu bagi tujuan yang tidak baik. - Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...